Sunday, 6 August 2017

Hidupnya Si Kancil

Ya, kehidupan mungkin terasa indah dan nyaman sewaktu kita masih kecil. Tidak ramai manusia yang mampu memikirkan erti kesusahan hidup diwaktu yang masih kecil. Namun, tidak sama bagi si kancil.

Kisah dimulakan dengan sebuah ceritera kehidupan si kancil sewaktu kecil didalam kampung yang masih damai. Si kancil memulakan penghidupannya yang amat sederhana didalam rumah yang agak kecil. Namun, itu tidak menjadi kerisauan si kancil kerana ibu kancil bijak mengawal suasana hidup mereka sehingga tidak terasa sangat oleh si kancil tentang kepayahan hidupnya. Tapi, terkadang si kancil yang masih kecil ini ada juga tertanya-tanya, kenapa hari ini kita makan tetapi esok tidak makan sedangkan perutnya lapar? Ya, itu yang berada dibenak si kancil namun tidak diluahkannya kerana bimbang dimarahi ibunya.

    Jadi, pada suatu hari, sedang si kancil bersiar-siar didalam kampung, dia ditahan oleh dua ekor kerbau yang nakal dan besar pula. Kata si kerbau pertama, "Kenapa kau kancil berjalan-jalan disini. Tidakkah engkau tahu ini bukannya tempat engkau. Engkau itu hanyalah kancil yang miskin, tidak layak kesana kemari. Baik engkau pulang kerumah engkau yang buruk itu.". Si kancil hanya mampu menangis dek kerana tidak mengerti kenapa dirinya dibenci oleh haiwan-haiwan lain. Bagi si kancil, salahkah dia jika dia tidak punya apa-apa? Bagi dirinya yang masih kecil serta akalnya yang belum matang, si kancil memang tidak mengerti apa-apa. Selepas bermacam cemuhan dan ejekkan kerbau itu, si kancil pun pulang kerumah dengan perasaan yang sangat sedih dan kecewa. Bukan sahaja diejekkan, kancil juga ditolak oleh sekumpulan kerbau tersebut. Tidak boleh dibayangkan badan sekecil kancil ditolak oleh haiwan sebesar kerbau. Namun, si kancil tetap bersyukur kerana dia tidak diapa-apakan dengan lebih teruk.

    Sampainya dirumah, si kancil tidak terus bercerita kepada ibunya kerana dia terus teresak-esak menangis disamping ibunya yang tersayang. Mulai hari itu, si kancil sudah dapat meneka keadaan hidupnya yang sebenar. Si kancil juga mulai tahu bahawa dunia yang didiaminya tidak hanya berlangitkan awan yang cerah, tidak hanya diindahkan dengan pelangi beraneka warna, tapi, dunia juga mempunyai waktu mendungnya dimana hanya awan gelap sahaja yang kelihatan disegenap pelusuk bumi.

#kisahku


No comments:

Post a Comment