Ainul Mardhiah, dambaan para lelaki serta impian para wanita. Ainul Mardhiah merupakan bidadari yang paling jelita berbanding dengan bidadari-bidadari yang lain,yang mana memang sedia ada lebih cantik berbanding manusia dibumi. Dari segi bahasa, Ainul Mardhiah bermaksud mata yang diredhai yang bererti setiap pandangan yang melihatnya pasti akan menemukan keredhaan hati. Namun, Allah menciptakan Ainul Mardhiah hanyalah untuk para syuhada yang syahid berjuang dijalan Allah.
Berdasarkan Hadis Nabi,riwayat Tirmidzi,
Ketika waktu pagi di bulan Ramadhan, Nabi Muhammad S.A.W. sedang memberikan targhib (semangat untuk berjuang) kepada pasukan tentera Islam. Nabi bersabda, "Sesungguhnya orang yang mati syahid kerana berjihad di jalan Allah, maka Allah akan menganugerahkannya Ainul Mardhiah,bidadari yang paling cantik di syurga". Mendengarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W. , salah seorang sahabat yang masih muda menjadi tertarik dan berhasrat untuk mengetahui lebih lagi mengenai Ainul Mardhiah. Namun, kerana perasaan malu terhadap Nabi Muhammad S.A.W. , sahabat muda tersebut membatalkan niatnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidadari yang paling cantik ini( Ainul Mardhiah).
Sebelum tibanya waktu zohor, sesuai dengan sunnah Nabi S.A.W untuk tidur sebentar ataupun dipanggil sebagai khailulah. Maka, sahabat muda tersebut turut tidur bersama para jemaah yang bakal berangkat ke medan perang.
Di dalam mimpi sahabat muda ini, beliau berada di tempat yang sungguh indah yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Sahabat muda ini telah bertemu dengan seorang yang wanita yang sangat cantik dengan wajah yang berseri-seri yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Ditanyakan kepada wanita tersebut, dimanakah beliau sedang berada sekarang. Wanita itu pun menjawab, "Inilah syurga". Menyedari hal ini, sahabat muda ini pun berhasrat untuk bertemu dengan Ainul Mardhiah yang diceritakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. . Kemudian sahabat ini pun bertanya kepada wanita itu lagi, "Adakah anda Ainul Mardhiah?". Wanita itu menjawab, "Bukan,saya bukan Ainul Mardhiah. Jika anda mencari Ainul Mardhiah, dia berada dibawah pohon yang rendang itu".
Kemudian, sahabat muda ini mendapati bahawa wanita yang kedua iaitu yang sedang berada dibawah pohon ini lebih cantik berlipat kali ganda berbanding wanita pertama itu tadi. Sahabat muda ini pun memberikan salam dan bertanyakan soalan yang sama, " Adakah anda Ainul Mardhiah?". Wanita kedua ini menjawab, "Tidak, saya hanyalah penjaga Ainul Mardhiah di singgahsana ini. Ainul Mardhiah berada didalam singgahsana ini".
Sahabat muda ini pun meneruskan pencariannya lalu menuju kedalam singgahsana yang sangat indah dengan permata-permata yang berkilapan. Ditemui oleh sahabat ini lagi seorang wanita yang sangat cantik dan indah berbanding wanita yang kedua tadi, lalu ditanyakannya, "Adakah anda Ainul Mardhiah?". Wanita ini turut mengatakan dirinya hanyalah penjaga kepada Ainul Mardhiah didalam singgahsana yang indah ini lalu memberitahu bahawa Ainul Mardhiah berada di atas singgahsana.
Dinaiki oleh sahabat muda ini anak-anak tangga singgahsana tersebut dengan tujuan yang sama iaitu untuk terus berjumpa dengan Ainul Mardhiah. Sahabat muda ini pun tiba di sebuah mahligai dan turut mendapati seorang wanita yang sangat menakjubkan keindahan wajahnya. Wanita ini lebih cantik berbanding wanita-wanita yang ditemukannya sebelum ini malah berlipat kali ganda lebih cantik. Wanita tersebut berkata, "Akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu tercipta untukku". Sahabat muda itu pun mendekati wanita ini namun dihalang oleh wanita ini lalu berkata, "Kamu belum lagi mati syahid". Tiba-tiba, sahabat muda ini pun tersedar dari mimpinya lalu menceritakan mimpinya kepada sahabat yang lain. Namun dia meminta supaya tidak diceritakan perihal mimpinya ini kepada Nabi Muhammad S.A.W. kecuali jika dia mati syahid kelak.
Setelah itu, dalam peperangan yang berlaku pada petang tersebut, Allah telah menetapkan takdirnya bahawa sahabat muda itu telah gugur sebagai seorang syuhada.Apabila para tentera pulang ke masjid dan sedang menunggu untuk berbuka puasa bersama-sama sambil menunggu untuk makanan dihidangkan, sahabat yang diamanahkan oleh sahabat muda yang syahid tadi pun menceritakan segala kisah mimpi syuhada ini. Nabi Muhammad S.A.W. pun bersabda, "Benar,benar, benar sepanjang cerita tersebut". Nabi S.A.W. turut berkata, kini sahabat kamu tadi sedang tunggu untuk berbuka puasa di syurga.
Masya Allah. Sungguh indah dan bijaksana percaturan hidup yang telah ditetapkan Allah. Melalui kisah ini, yakinlah Allah tidak akan menyia-nyiakan hamba-NYA yang beriman dan bertakwa. Setiap ketakwaan akan dibalas oleh Allah dengan nikmat yang tidak bisa kita jangkakan kalau tidak didunia, sudah pasti di akhirat akan terbalas jua. Wallahualam.
Disini saya sertakan Music Video Ainul Mardhiah version GGV 2017 oleh kumpulan UNIC.
Semoga anda dapat menghayati bait-bait lirik lagu ini.